Thursday, 18 December 2014

Resepi Nasi Lemak Mudah Dan Cepat




Salam,

Pagi yang hujan macam nih, ditambah pulak cuti, memang malas betul nak keluar rumah beli sarapan. Lagipun bila orang yang bekerja macam saya, rasa dah bosan sarapan dari kedai. Sekarang di sini (Kelantan) tengah banjir,  jalan pun ada yang dinaiki air, memang susah la pun nak keluar ke kedai. Semoga mereka yang dilanda banjir serta kehilangan harta benda tabah dan sabar ye.

Hari ni terasa nak makan nasi lemak dengan telur mata yang kuning telur tu masih cair2 tuh ^_^
Biasalah bila cuti kan malas skit, jadinya nak cepat dan mudah je. Jadi saya masak nasi lemak yang simple sahaja, takdela beriya sangat, untuk alas perut waktu pagi. Saya hanya masak sambal bilis dan goreng telur mata. Nasi pulak saya kukus sebab lagi mudah dan tak melekat pada periuk, yela masak pun kuantiti sedikit sahaja. Kalau anda pun nak cepat dan mudah, boleh ikut resepi kat bawah, selamat mencuba ^_^


Resepi Nasi Lemak

Nasi
2 cawan beras
1 cawan santan pekat  * kalau nak tambah untuk lebih rasa lemak pun boleh
2 1/2 cawan air
1 sudu teh garam
Hirisan halia
Daun pandan @ bunga cengkih @ keduanya sekali untuk mewangikan nasi

Sambal
1 cawan ikan bilis
1/2 cawan cili giling
6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
sehiris halia
* tumbuk semua bawang dan halia
Sedikit air asam jawa
Sedikit gula melaka (nisey)
Sedikit garam dan gula sebagai perasa - *saya tak boleh makan ajinomoto, kalau nak letak pun boleh
Sedikit Kicap manis - abaikan kalau tak suka
Minyak untuk menumis

Telur ayam seberapa yang anda mahu - rebus atau goreng ikut citarasa anda
Hirisan timun

Cara Membuatnya:

1. Untuk nasi, basuh beras, dan masukkan santan, garam serta daun pandan@bunga cengkih. Kukuskan sehingga nasi masak. Sentiasa periksa nasi dan gaulkan nasi semasa mengukus. Kalau nak tanak pun boleh, masukkan semua dalam rice cooker dan masak macam biasa, sekali sekala gaulkan dan gemburkan nasi.

2. Sementara nasi masak, panaskan minyak dalam kuali, gorengkan ikan bilis seketika, jgn sampai garing sangat ye. Angkat dan toskan minyak.

3. Selepas itu tumis bawang merah, bawang putih dan halia tadi dalam kuali yang sama sehingga naik bau. Masukkan cili giling dan gula melaka, tumis hingga keluar minyak di permukaannya. Masukkan air asam jawa dan tumis lagi.

4. Jika tumisan agak kering, boleh tambahkan sedikit air. Masukkan gula, secubit garam serta kicap, biarkan mendidih sekejap.

5. Kemudian masukkan ikan bilis, gaul rata sekejap, kemudian tutupkan api.

6. Bila nasi dah masak, hidangkan bersama sambal ikan bilis, telur dan timun tadi. Selamat menjamu selera.




No comments:

Post a Comment